Inilah denai jejak seni ke hati,
puncak fikir yang indah sekali,
tanpa himpunan ilmu di kalbu buku,
kita tak sempat sampai ke mercu itu.
Di sini diri sentiasa di taman,
menikmati unggas dan puspa menawan,
di sinilah vista buku saraf seni,
meranum akal mematang peribadi.
Kita wajar berpesta di kalbu buku,
menghayati nikmatnya seindah syahdu,
dalam tenang waktu khusyuk di pustaka,
lebih cepat kita terasuh dewasa.
Buku adalah denyut nadi utama,
penting bagi minda waras manusia,
dan buku juga gema fakir yang sakti,
nyaman dan mesranya sebuah simfoni.
Kita memupuk insan yang luhur budi,
melalui tapisan hikmat berseni,
dan buku memang tasik aneka ilmu,
yang perlu diselami sejujur kalbu.
Buku mengasuh diri sasa bersuara,
membaca menjadi jambatan bertuah,
kita merindu buku dan ghairah baca,
agar sentiasa canggih dan berhemah.
A Samad Said
7 Mac 2004
Dewan Sastera
Ogos 2004 ms 50
No comments:
Post a Comment